top of page

Panduan Lengkap Saman Sivil Tuntutan Hutang Di Malaysia

  • Writer: Rule & Co Editorial Team
    Rule & Co Editorial Team
  • 13 Apr
  • 5 min membaca

Daripada writ saman hingga perintah mahkamah, Rule & Co telah membantu ramai pemiutang di Malaysia dengan saman sivil sepanjang dekad kami sebagai peguam tuntutan hutang.


war scene to symbolise civil litigation for debt recovery in Malayisa
Beginilah adegan dalam bilik mahkamah.

Dalam pengalaman kami, saman sivil untuk hutang tertunggak l di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanya berkesan dalam situasi tertentu, dan panduan ini untuk tentukan jika kes anda berbaloi dibawa ke mahkamah.


Begini cara kami terangkannya:


  • kelebihan dan limitasi tuntutan sivil

  • mahkamah mana yang akan dengar kes anda

  • langkah-langkah pra-perbicaraan

  • perbicaraan itu sendiri

  • keputusan mahkamah dan langkah seterusnya

  • peranan Rule & Co sebagai peguam litigasi anda, dan

  • pandangan profesional kami


Bagi pemiutang individu (bukan perniagaan) dengan tuntutan RM5,000 dan ke bawah, rujuk panduan Mahkamah Tuntutan Kecil untuk memproses tuntutan kecil tanpa peguam.


Yang kesuntukan masa juga dipersilakan hubungi kami terus untuk penilaian kes percuma .


Kalau tidak, jom mulakan.

.

Kelebihan litigasi


Pemiutang boleh memohon perintah mahkamah berikut walaupun perbicaraan belum tamat:


  1. Bayaran interim: Bayaran separa sementara kes masih berjalan

  2. Injunksi: Menghalang penghutang daripada menjual atau melupuskan aset

  3. Penemuan (Discovery): Memaksa penghutang menyerahkan dokumen penting yang menyokong tuntutan anda

.

Jika mahkamah memihak kepada pemiutang, mereka boleh mengakses remedi yang lebih kuat:


  1. Saman Penghutang Penghakiman: Mahkamah mengarahkan penghutang hadir untuk menjawab soalan mengenai wang atau aset yang mereka miliki

  2. Pelbagai kaedah penguatkuasaan: Termasuk merampas harta mulik penghutang dan menggarnis wang dari pihak ketiga

  3. Faedah atas hutang: Penghutang mesti membayar faedah ke atas penghakiman dari tarikh ia dikeluarkan sehingga pembayaran dibuat


Risiko litigasi


Risiko terbesar tuntutan sivil ialah kos yang tinggi. Fi pemfailan, caj servis profesional, dan pelbagai yuran lain boleh mencecah berpuluh ribu Ringgit dengan cepat, dan jika anda kalah, mahkamah boleh arahkan anda bayar kos pihak lawan!


Selain itu, kekurangan lain termasuk:


  • berkemungkinan mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai

  • kemungkinan tuntutan balas (counterclaim) daripada penghutang

  • penghakiman yang tidak boleh dikuatkuasakan jika penghutang tiada aset atau wang


Penentuan mahkamah berdasarkan nilai tuntutan


Tuntutan sivil di Malaysia adalah berdasarkan nilai, di mana tuntutan bernilai lebih tinggi akan didengar oleh mahkamah yang lebih senior:

Mahkamah

Nilai Tuntutan

Mahkamah Tuntutan Kecil

Tuntutan oleh individu (bukan perniagaan) sehingga RM5,000

Mahkamah Majistret

Sehingga RM100,000

Mahkamah Sesyen

RM100,001 hingga RM1,000,000

Mahkamah Tinggi

RM1,000,001 tanpa had maksimum

Mengapa ia penting: Walaupun langkah-langkahnya secara umumnya adalah sama merentasi semua mahkamah, kos meningkat dengan ketara di peringkat yang lebih tinggi. Ini, bersama dengan had tuntutan, memberi kesan langsung kepada pulangan tuntutan sivil.


Kami akan bincangkan topik ini dengan lebih mendalam nanti - buat sekarang, jom lihat langkah-langkah prosedur tuntutan sivil.


Langkah-langkah tuntutan sivil


Secara umum, tindakan sivil boleh dibahagikan kepada tiga peringkat utama:


  • pra-perbicaraan

  • perbicaraan

  • penghakiman dan pasca-perbicaraan


Untuk kejelasan, di bawah pembaca dirujuk sebagai plaintif dan penghutang sebagai defendan.


Peringkat pra-perbicaraan


Kes bermula apabila peguam plaintif memfailkan writ saman di mahkamah yang berkaitan.


contoh writ saman untuk saman tuntutan hutang sivil

Writ ini akan diserahkan kepada defendan, dan mereka diberikan 14 hari untuk memfailkan Memorandum Kehadiran, menandakan mereka ingin mempertikaikan tuntutan.


Selepas itu, kedua-dua pihak kemukakan hujahan bertulis kepada mahkamah, termasuk:


  • Penyata Tuntutan oleh plaintif

  • Pembelaan oleh defendan (dan kemungkinan tuntutan balas)

  • Jawapan oleh plaintif (jika perlu)


Seterusnya, semua pihak akan menghadiri sesi Pengurusan Kes Pra-Perbicaraan, di mana mahkamah memastikan semua dokumen teratur dan memberikan arahan supaya kes berjalan dengan lancar.


Kemungkinan keputusan mahkamah awal


Ada dua situasi di mana mahkamah boleh membuat keputusan pada peringkat pra-perbicaraan:


  1. Jika defendan gagal memasukkan kehadiran dalam tempoh 14 hari, plaintif boleh memohon penghakiman ingkar (judgement in default)

  2. Jika pembelaan defendan tiada asas undang-undang, plaintif boleh memohon penghakiman ringkas (summary judgement)


Ini dikenali sebagai 'short-cut jugdement' kerana ia mempercepat proses mendapatkan perintah mahkamah, namun, jika dua situasi ini tidak berlaku, kes akan diteruskan ke perbicaraan 🙂


Peringkat perbicaraan


Kedua-dua pihak akan hadir di mahkamah untuk membentangkan kes masing-masing di hadapan hakim yang akan menilai semua bukti, termasuk:


  • keterangan saksi

  • soal balas saksi

  • dokumen dan bukti sokongan lain

  • saksi pakar (jika perlu)

  • lawatan tapak atau pemeriksaan item berkaitan tuntutan


Terdapat aliran prosedur dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memastikan kedua-dua pihak mengemukakan bukti dan hujahan dengan teratur.


Apa yang penting untuk plaintif: Semakin kompleks sesuatu kes, semakin banyak bukti yang perlu dikemukakan dan semakin lama tempoh perbicaraan.


Mahkamah juga mempunyai kuasa penuh untuk menangguhkan perbicaraan ke tarikh lain, jadi tempoh perbicaraan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara hakim.


Setelah semua bukti dan hujah telah dikemukakan, mahkamah akan membuat keputusan.


Penghakiman mahkamah


Lengkah seterusnya bergantung kepada sama ada mahkamah memihak dengan plaintif atau defendan.


Keputusan memihak plaintif


Defendan (kini dikenali sebagai penghutang penghakiman) biasanya diperintahkan untuk membayar jumlah hutang bersama kos guaman, dan faedah lazimnya akan mula dikira dari tarikh penghakiman sehingga bayaran penuh dibuat.


Sebagai plaintif (kini pemiutang penghakiman), anda mempunyai beberapa pilihan untuk menguatkuasakan penghakiman:


  • memaksa penghutang menjawab soalan mengenai aset dan keupayaan membayar

  • menggunakan pelbagai kaedah penguatkuasaan berdasarkan aset yang dimiliki penghutang


Perhatian: Defendan boleh memohon penangguhan pelaksanaan (stay of execution) untuk menangguhkan pembayaran atau membuat rayuan, yang boleh menghentikan sementara proses penguatkuasaan.


Keputusan memihak defendan


Tuntutan anda akan ditolak dan anda mungkin perlu menanggung kos guaman defendan.


Selain itu, jika defendan memfailkan tuntutan balas, mahkamah juga boleh memutuskan memihak kepada mereka dan mengarahkan anda membayar apa-apa jumlah yang terhutang atau memberikan remedi yang diminta.


Jika tidak berpuas hati, anda juga boleh memfailkan notis rayuan untuk membawa kes ke mahkamah yang lebih tinggi.


Merayu keputusan mahkamah


Untuk merayu, notis rayuan mesti difailkan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman.


Kerana bukti baharu biasanya tidak dibenarkan, rayuan hanya sesuai jika dapat dibuktikan bahawa hakim telah membuat kesilapan berdasarkan hujahan sedia ada.


Perkara penting: Memfailkan rayuan tidak menghentikan pelaksanaan perintah mahkamah asal. Ini bermakna jika anda diarahkan membayar kos guaman pihak lawan, anda tetap perlu membayarnya melainkan mahkamah memberikan penangguhan pelaksanaan.


Bagi pembaca yang masih berminat, izinkan kami kongsi sedikit tentang servis Rule & Co 🙂


Bagaimana Rule & Co menyokong tuntutan sivil pemiutang


peguam rule and co dalam sesi rundingan dengan klien kami untuk  prosiding saman sivil mereka
Sesi rundingan antara pasukan kami dengan klien.

Peranan kami sebagai wakil guaman pemiutang bermula jauh sebelum perbicaraan dan berterusan lama selepas keputusan mahkamah dibuat.


Sebelum memfailkan kes


Kami akan terlebih dahulu menilai fakta kes anda dengan teliti untuk:


  • memastikan tuntutan anda mempunyai peluang kejayaan yang baik

  • mengenal pasti sebarang pembelaan atau tuntutan balas yang mungkin dibangkitkan oleh pihak lawan

  • menasihati anda tentang jangkaan proses dan sama ada tindakan mahkamah adalah langkah yang wajar


Jika anda memutuskan untuk meneruskan, kami akan memfailkan semua dokumen yang diperlukan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.


Sepanjang kes berjalan


Melainkan mahkamah secara khusus memerlukan kehadiran anda, kami boleh menguruskan keseluruhan proses sambil memastikan anda sentiasa dikemas kini, termasuk:


  • memfailkan semua dokumen seperti tuntutan, jawapan, dan pembelaan

  • mengumpul dokumen, menyelaras kenyataan saksi, dan mengatur saksi pakar

  • menghadiri sesi pra-perbicaraan dan mewakili anda di mahkamah (ambil perhatian bahawa kehadiran anda sebagai saksi mungkin diperlukan dalam keadaan tertentu)


Selepas kes selesai


Jika mahkamah memutuskan memihak kepada anda, kami akan berusaha untuk mendapatkan bayaran secepat mungkin dengan:


  • memfailkan dokumen untuk menguatkuasakan penghakiman, dan

  • bekerjasama dengan pegawai mahkamah untuk menyita dan menjual aset


Kami juga akan memohon perintah mahkamah tambahan jika perlu untuk memastikan hutang berjaya dikutip.


Ringkasnya, kami pastikan anda dapat menyelesaikan perkara ini sepenuhnya secepat mungkin.


Sepanjang proses, kami juga akan sentiasa berhubung dengan pihak lawan untuk meneroka peluang penyelesaian luar mahkamah yang lebih cepat.


Pandangan profesional kami


Dalam situasi tertentu, penghakiman mahkamah sangat berguna bagi pemiutang kerana ia membuka jalan kepada kaedah penguatkuasaan seperti perintah garnishi dan prosiding komital.


Walau bagaimanapun, proses mendapatkannya adalah panjang, mahal, dan berisiko. Pada pandangan kami, ia hanya wajar dipertimbangkan jika tiga syarat berikut dipenuhi:


  • jumlah hutang melebihi RM100,000

  • penghutang mempunyai kemampuan untuk membayar

  • penghutang tidak mempunyai pembelaan yang kukuh dari segi undang-undang


Dan kerana kami galakkan kekerasan hanya jika perlu, walaupun tiga syarat ini dipenuhi pun, saman sivil hanya wajar sebagai langkah terakhir untuk penghutang yang enggan berbincang.


Itu saja daripada kami, dan kami harap proses tuntutan hutang anda berjalan lancar 🙂


Biar Rule & Co uruskan tuntutan hutang anda


Jika anda tiada masa untuk mengejar penghutang, Rule & Co ialah firma guaman tuntutan hutang dengan pengalaman luas membantu pemiutang melalui strategi perundangan dengan kos awal minimum yang tidak akan menjejeaskan reputasi anda.


.

 
 
 

Komen


Whatsapp: +6 010 202 8095

LG1-2, Seri Gembira Avenue, No 6, Jalan Senang Ria,

Kuchai Lama, 58200 Kuala Lumpur, Malaysia.

  • Whatsapp
  • Facebook
  • LinkedIn

(c) 2020 Rule & Co. Peguambela & Peguamcara

bottom of page