
Perkhidmatan Tuntutan Invois Tertunggak
_edited.png)
Berdaftar dengan Badan Peguam Malaysia • Ditubuhkan pada 2016 • 1,000+ kes dikendalikan
Dapatkan Penilaian Kes Percuma
Bagaimana Kami Bantu
Selama sepuluh tahun yang lalu, pasukan Rule & Co telah membantu pemiutang di Malaysia menuntut bayaran invois tertunggak, daripada satu bayaran yang lewat hingga hutang yang melibatkan berpuluh-puluh invois. Kami bermula dengan kaedah yang paling cepat dan menjimatkan kos, dan hanya mengambil tindakan lanjut apabila penghutang tidak memberikan pilihan lain.
-
Surat tuntutan: Surat tuntutan rasmi daripada firma kami yang menyatakan jumlah hutang, tarikh akhir pembayaran dan tindakan undang-undang yang akan diambil jika tuntutan tidak diendahkan. Bagi ramai penghutang, langkah ini sahaja sudah cukup untuk mendorong pembayaran.
-
Rundingan: Jika penghutang mahu membayar tetapi tidak mampu menjelaskan keseluruhan hutang sekaligus, kami boleh menyediakan perjanjian bayaran ansuran yang dilindungi oleh cek bertarikh kemudian, klausa kemungkiran dan faedah lewat bayar.
-
Tindakan sivil: Jika invois masih belum dibayar dan jumlah atau keadaan kes membenarkannya, kami akan memfailkan tuntutan sivil di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.
-
Penguatkuasaan: Jika penghakiman memihak kepada anda, kami boleh mengambil tindakan penguatkuasaan lanjut dengan menyita dan menjual aset penghutang, mendapatkan perintah garnisi terhadap akaun bank mereka serta menggunakan beberapa kaedah lain.
Pengalaman kami berulang kali menunjukkan penghutang memberikan respons berbeza apabila peguam terlibat. Peringatan yang tidak diendahkan selama berbulan-bulan sering mendapat perhatian sebaik sahaja surat tuntutan diterima kerana penghutang kini tahu bahawa langkah seterusnya ialah tindakan mahkamah.
Siapa Kami Bantu
-
pembekal dan pengedar
-
pengilang
-
perniagaan perkhidmatan dan agensi
-
perunding dan firma profesional
-
PKS dengan bayaran tertunggak daripada pelanggan lebih besar
-
pekerja bebas
Dokumen untuk Buktikan Hutang
Lebih lengkap rekod dokumen anda, lebih mudah dan cepat tuntutan invois tertunggak dapat dibuat. Dokumen berikut amat membantu kami menilai kes anda:
-
invois dan penyata akaun, jika ada
-
pesanan pembelian, sebut harga atau kontrak yang ditandatangani
-
nota penghantaran atau bukti kerja telah disiapkan
-
e-mel atau WhatsApp menunjukkan penghutang mengakui hutang tersebut
-
nama berdaftar dan nombor pendaftaran penghutang yang tepat daripada SSM
Jangan risau jika anda tidak mempunyai sebahagian daripada dokumen ini. Hubungi kami juga, dan kami boleh menasihati anda tentang dokumen yang diperlukan semasa penilaian kes percuma.
Kes-Kes Kami
Invois tertunggak merupakan antara masalah paling biasa yang kami bantu selesaikan untuk perniagaan di Malaysia. Apabila pelanggan kami telah melaksanakan kerja seperti yang dipersetujui tetapi hanya menerima kesunyian atau janji pembayaran yang berulang kali, kami berbangga dapat membantu mereka mendapatkan bayaran yang masih terhutang. Berikut ialah beberapa kes penting yang pernah kami kendalikan.
1. Mengancam dengan Hukuman Penjara
Nilai hutang: RM180,000
Jumlah dituntut: RM180,000 (100%), dibayar sekaligus
Latar belakang
Pelanggan kami, seorang pemilik perniagaan, mempunyai tunggakan bayaran sebanyak RM180,000 bagi perkhidmatan yang telah diberikan. Peringatan melalui e-mel dan WhatsApp tidak dijawab, manakala penghutang mengabaikan setiap usaha untuk mencapai penyelesaian. Bukti yang ada hanya terdiri daripada sebut harga dan mesej WhatsApp tidak rasmi yang menunjukkan penghutang mengakui hutang tersebut.
Walaupun bukti ini tidak begitu kukuh, ia masih mencukupi untuk membina strategi tuntutan.
Tindakan lanjut
Kami mengeluarkan notis tuntutan, tetapi ia tidak diendahkan. Kami kemudian memfailkan writ saman. Penghutang gagal memasukkan kehadiran atau memfailkan pembelaan, lalu kami memperoleh penghakiman ingkar bagi keseluruhan RM180,000.
Selepas beberapa percubaan untuk menguatkuasakan penghakiman tidak berjaya, kami mengambil langkah seterusnya dengan memfailkan saman penghutang penghakiman di bawah Akta Penghutang 1957. Mahkamah mengarahkan penghutang hadir dan membayar RM10,000 sebulan untuk menjelaskan hutang penghakiman tersebut. Selepas membayar ansuran pertama, penghutang sekali lagi gagal membuat pembayaran.
Penyelesaian
Kami memfailkan permohonan komital untuk memohon mahkamah memenjarakan penghutang kerana gagal mematuhi perintah pembayaran. Berdepan kemungkinan sebenar dipenjarakan, penghutang membayar keseluruhan RM180,000 sekaligus, sehari sebelum pendengaran komital.
2. Pengaturan Yuran Berasaskan Kejayaan
Nilai hutang: RM100,000 daripada 3 orang penghutang
Jumlah dituntut: RM70,000 berjaya diperoleh sepenuhnya daripada 2 orang penghutang; baki RM30,000 difailkan sebagai bukti hutang
Latar belakang
Sebuah agensi hartanah terkenal mempunyai tunggakan komisen sebanyak RM100,000 daripada tiga pemilik hartanah. Komisen tersebut telah diperoleh melalui urus niaga jualan sekunder yang berjaya diselesaikan, tetapi pemilik hartanah memintas pelanggan kami dan enggan membayar invois walaupun telah mendapat manfaat daripada urus niaga tersebut. Kami mengendalikan kes ini berdasarkan fi kejayaan, tanpa fi guaman pendahuluan melainkan kami berjaya mendapatkan bayaran.
Tindakan lanjut
Penghutang pertama mempunyai tunggakan RM30,000 sejak tahun 2020, dengan hanya setahun lagi sebelum tamat tempoh had tuntutan selama 6 tahun. Hasil semakan mendapati pemilik tersebut telah diisytiharkan bankrap beberapa tahun sebelumnya. Kami membantu pelanggan memfailkan bukti hutang dan menyediakan dokumen untuk menuntut pelepasan cukai.
Penghutang kedua, yang berhutang RM35,000, memberikan respons sebaik sahaja kami menghubunginya bagi pihak agensi tersebut. Selepas lima panggilan tidak berjawab berturut-turut, penghutang menghantar mesej bertanyakan akaun untuk membuat pembayaran. Keseluruhan hutang dijelaskan dalam masa 48 jam.
Penghutang ketiga, yang juga berhutang RM35,000, mengabaikan notis tuntutan kami serta dua minggu tindakan susulan. Kami menyediakan writ saman, dan sehari sebelum writ tersebut sepatutnya difailkan, penghutang menghantar bukti pembayaran penuh.
Penyelesaian
Pelanggan kami berjaya mendapatkan RM70,000 tanpa perlu membawa kes ke mahkamah dan hanya membayar fi guaman berdasarkan jumlah yang berjaya dituntut. Hutang yang tidak dapat diperoleh telah didokumenkan dengan sewajarnya, membolehkan agensi tersebut menutup rekod bagi ketiga-tiga kes.
3. Menguatkuasakan Jaminan Peribadi
Nilai hutang: RM300,000
Jumlah dituntut: RM300,000 (100%), dibayar sehari selepas respons kami
Latar belakang
Sebuah firma perunding cukai bersaiz sederhana sering mengalami masalah mendapatkan bayaran fi dalam jumlah besar daripada syarikat cangkerang yang tidak mempunyai aset. Apabila syarikat-syarikat ini tidak lagi aktif, firma tersebut hampir tiada cara untuk menguatkuasakan penghakiman terhadap mereka, manakala pengarahnya hanya meninggalkan invois yang belum dibayar.
Kami menyemak dan meminda terma penglibatan standard firma tersebut dengan menambah klausa jaminan peribadi yang menjadikan individu yang menandatangani perjanjian bertanggungjawab secara peribadi sekiranya syarikat gagal membuat pembayaran.
Enam bulan kemudian, klausa tersebut diuji.
Tindakan lanjut
Seorang pelanggan berhutang RM300,000 kepada firma tersebut. Syarikat berkenaan, sebuah Sdn Bhd dengan modal berbayar RM2, jelas merupakan syarikat cangkerang. Mengetahui bahawa tiada aset untuk disita, pengarahnya mencabar kami supaya meneruskan penggulungan syarikat tersebut.
Penyelesaian
Sebaliknya, kami memaklumkan kepada pengarah tersebut bahawa kami tidak akan menggulung syarikat itu, sebaliknya akan menguatkuasakan jaminan peribadi terhadapnya sebagai individu yang menandatangani perjanjian. Keesokan harinya, kami menerima cek bagi pembayaran penuh RM300,000.
Testimoni Klien
Soalan Lazim
1. Bagaimanakah cara untuk menuntut bayaran invois tertunggak di Malaysia? Mulakan dengan mengumpulkan invois dan dokumen sokongan, kemudian keluarkan surat tuntutan. Jika penghutang masih tidak membayar, langkah seterusnya ialah memfailkan tuntutan di mahkamah dan, selepas memperoleh penghakiman, mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aset penghutang.
2. Berapakah kos untuk menuntut bayaran invois tertunggak? Malangnya, kosnya terlalu berbeza mengikut kes untuk kami memberikan anggaran umum. Kami sedia memberikan anggaran khusus berdasarkan kes anda semasa penilaian kes percuma.
3. Adakah berbaloi untuk menuntut bayaran invois yang kecil? Selalunya, ya. Kos mengeluarkan surat tuntutan hanyalah sebahagian kecil daripada kebanyakan nilai invois, dan banyak hutang dapat diselesaikan tanpa perlu ke mahkamah. Kami akan berterus terang jika kos tindakan lanjut melebihi jumlah yang berkemungkinan dapat dituntut.
4. Bagaimana jika pelanggan saya mempertikaikan invois tersebut? Pertikaian tidak bermakna anda tidak boleh meneruskan tuntutan. Berikan kami peluang untuk menyemak bukti sebelum kami memberikan pandangan tentang situasi anda.
5. Bolehkah invois tertunggak yang sudah berusia 7 tahun masih dituntut? Kemungkinan besar tidak, kerana kebanyakan tuntutan invois perlu difailkan dalam tempoh 6 tahun dari tarikh bayaran perlu dibuat. Walau bagaimanapun, jika penghutang mengakui hutang secara bertulis atau membuat bayaran sebahagian, tempoh 6 tahun tersebut mungkin bermula semula.
6. Bolehkah saya mengenakan faedah ke atas invois tertunggak di Malaysia? Hanya jika terma pembayaran, sebut harga atau kontrak anda memperuntukkannya dan pelanggan telah menerima terma tersebut. Tanpa persetujuan awal, anda masih boleh memohon mahkamah memberikan faedah jika anda memfailkan tuntutan.
7. Berapakah kadar faedah yang boleh saya kenakan ke atas invois tertunggak? Tiada had maksimum yang ditetapkan oleh undang-undang, tetapi kadarnya mestilah munasabah. Mahkamah boleh menolak kadar yang terlalu tinggi berbanding kerugian sebenar anda.
8. Bolehkah saya mengenakan caj lewat bayar dan bukannya faedah? Ya, dengan syarat caj tersebut telah dipersetujui terlebih dahulu dan munasabah berbanding jumlah invois. Caj tetap yang terlalu tinggi lebih berkemungkinan dipertikaikan sebagai penalti.
9. Mengapa kontraktor patut cuba berunding sebelum mengambil tindakan undang-undang? Banyak masalah pembayaran berpunca daripada salah faham atau kekangan aliran tunai sementara. Rundingan boleh membantu menyelesaikan pertikaian dengan lebih cepat sambil mengekalkan hubungan perniagaan.
10. Berapa lama masa yang diperlukan untuk menuntut bayaran invois tertunggak? Surat tuntutan biasanya memberikan penghutang tempoh 7 atau 14 hari untuk membuat pembayaran, dan banyak kes diselesaikan pada peringkat ini. Prosiding mahkamah mengambil masa lebih lama, bergantung pada mahkamah yang mengendalikan kes dan sama ada penghutang memfailkan pembelaan.
Penilaian Kes PERCUMA
Dapatkan penilaian kes percuma.
Whatsapp kami di +6 010 202 8095
E-mel kami di rudi@rulecolaw.com
Atau isi borang bersebelahan dan kami akan berhubung.








